Rumah, kereta mangsa kebakaran paip gas Putra Heights mungkin tiada perlindungan insurans

Rumah, kereta mangsa kebakaran paip gas Putra Heights mungkin tiada perlindungan insurans

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Walaupun kehilangan harta benda dianggarkan puluhan juta ringgit akibat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, namun timbul kebimbangan rumah dan kereta mangsa mungkin tidak dilindungi insurans.

Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan Nik Saiful Adli Burhan berkata, ini berikutan kejadian kebocoran gas bukanlah sesuatu yang lazim atau boleh dijangka berlaku di bawah polisi insurans standard.

Malah, ia tidak termasuk dalam perlindungan biasa dan hanya boleh dituntut di bawah perlindungan khas (‘special perils’) yang tidak diambil oleh kebanyakan pemilik harta.

“Dalam menilai hak tuntutan mangsa, rujukan akan dibuat kepada Akta Bekalan Gas 1993 dan prinsip liabiliti ketat atau mutlak (‘strict liability’) terhadap penyelenggaraan paip gas oleh Petronas.

“Juga perlu dilihat ‘neighbourhood principle’ bagi menentukan kewajipan penjagaan (‘duty of care’) dan siapa pihak yang melanggarnya dan apa kewajipan yang dilanggar,” katanya pada kenyataan media.

Nik Saiful berkata, Akta Bekalan Gas 1993 menetapkan tanggungjawab pihak yang menguruskan bekalan gas termasuk aspek keselamatan dan penyelenggaraan infrastruktur dan Seksyen 30 menyatakan, pemegang lesen (seperti Petronas) bertanggungjawab untuk memastikan pemasangan, pengendalian dan penyelenggaraan sistem gas dilakukan dengan selamat.

Katanya, bagi Seksyen 32 pula memperuntukkan penalti terhadap pihak yang gagal mengambil langkah-langkah wajar dalam memastikan keselamatan awam.

“Berdasarkan peruntukan ini, Petronas sebagai pemegang lesen mungkin mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sistem paip gasnya tidak menimbulkan bahaya kepada penduduk sekitar.

“Sekiranya terbukti terdapat kecuaian dalam penyelenggaraan atau pemantauan paip gas, bukan sahaja denda dan penalti boleh dikenakan, tetapi mangsa yang terkesan juga boleh menuntut ganti rugi atau kerugian yang dialami ke pihak Mahkamah,” katanya.

Dalam menentukan sama ada Petronas atau pemaju lebih bertanggungjawab, mahkamah akan menilai pertama, adakah kewajipan penjagaan wujud?

Kedua, jika Petronas atau pemaju mempunyai kawalan atau potensi bahaya, mereka wajib mengelakkannya dan adakah kewajipan ini dilanggar? Jika terdapat kelalaian dalam penyelenggaraan paip gas oleh Petronas atau dalam pembangunan kawasan oleh pemaju, maka kewajipan penjagaan ini sudah dilanggar.

“Ketiga, jika pelanggaran menyebabkan kerugian, mangsa boleh menuntut ganti rugi jika mengalami kecederaan, kehilangan harta benda atau kerosakan lain akibat kebocoran gas ini, penentuan liabiliti ini bergantung kepada siasatan lanjut dan fakta kes yang akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya.

Nik Saiful berkata, dalam menentukan kewajipan boleh merujuk kepada Prinsip Jiran yang diperkenalkan dalam kes ‘Donoghue lawan Stevenson’ (1932) menyatakan bahawa seseorang harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kecederaan kepada pihak yang berpotensi untuk terkesan oleh tindakannya dalam erti kata lain Petronas dan pemaju mempunyai tanggungjawab jika berlaku kecuaian yang membawa bahaya.

Oleh itu, sekiranya mahkamah mendapati Petronas atau pemaju bertanggungjawab atas kejadian ini, tuntutan ganti rugi bagi harta benda yang rosak boleh menjadi satu bentuk pampasan yang perlu diberikan kepada mangsa yang mengalami kerugian.

“Boleh jadi kedua-dua mereka (Petronas dan pemaju) bertanggungjawab, atau mungkin pihak ketiga jika dibuktikan di mahkamah menerusi prinsip-prinsip undang-undang sebagaimana yang saya nyatakan.

“Mahkamah akan menentukan pembahagian liabiliti mengikut pertimbangan selepas menilai semua keterangan termasuk saksi awam, saksi-saksi pakar dan mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top