London: Pelawak dan pelakon Britain, Russell Brand menafikan dakwaan rogol dan serangan seksual pada Jumaat selepas didakwa atas lima kesalahan oleh Polis Metropolitan London.
Jurucakap polis berkata, Brand, 49, yang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai suami kepada bintang pop Katy Perry selepas mencipta nama di Britain, didakwa atas satu pertuduhan rogol, perbuatan tidak senonoh, seks oral dan dua dakwaan melakukan serangan seksual.
Pertuduhan itu berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku antara 1999 dan 2005 membabitkan empat wanita.
Berikutan itu, Brand menafikan tuduhan berkenaan menerusi video maklum balas dimuat naik di X.
Brand, yang berkahwin dengan Perry selama 14 bulan antara 2010 dan 2012, berkata, dia akan membela diri terhadap pertuduhan itu.
Dia dijadual hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada 2 Mei depan.
Detektif Superintendan Andy Furphy dari Polis Metropolitan berkata, siasatan kes itu masih terbuka.
Beliau menggesa sesiapa yang menjadi mangsa atau mempunyai sebarang maklumat, tampil membuat aduan kepada polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




