am@hmetro.com.my
Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan kes penyeludupan hidupan liar eksotik menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi titik transit utama sindiket perdagangan haram hidupan liar.
Ia susulan pada awal Mac lalu, dua penyeludup berjaya menaiki pesawat Malaysia Airlines ke Chennai dengan membawa hidupan liar dalam beg pakaian tanpa dikesan.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, insiden itu menunjukkan KLIA terus dieksploitasi sindiket kerana lokasinya yang strategik, jumlah penumpang dan kargo tinggi serta kewujudan Zon Perdagangan Bebas.
Malah, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengakui KLIA sebagai lokasi berisiko tinggi.
“Bagaimana beg berisi haiwan hidup boleh melepasi kawalan keselamatan KLIA tanpa dikesan? Adakah kerana kurang pengawasan, kegagalan teknikal atau kecuaian?
“Walaupun dua anjing pengesan disumbangkan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Perhilitan, teknologi pengesanan canggih seperti sensor degupan jantung atau karbon dioksida masih belum ada.
“Ini sekali gus menunjukkan MAHB hanya membuat janji bagi menaik taraf sistem pengawasan tanpa pelan tindakan jelas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, sehubungan itu CAP mendesak MAHB supaya segera melabur dalam teknologi pengesanan moden selain negara juga harus menegakkan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Flora dan Fauna Terancam (CITES).
Katanya, hukuman lebih berat juga perlu diambil terhadap pemilik haiwan eksotik bagi mengurangkan permintaan dan mencegah jenayah ini berulang.
Sebelum ini, CAP mendakwa sejak April 2014 hingga Mac lalu, terdapat 11 kes penyeludupan hidupan liar membabitkan gibbon, burung koel, kura-kura, iguana dan spesies jarang lain.
India menjadi destinasi utama dengan hampir 73 peratus kes termasuk empat insiden di Lapangan Terbang Chennai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




