Bernardo Silva sertai Real Madrid

Bernardo Silva sertai Real Madrid

Madrid: Real Madrid meneruskan usaha memperkukuhkan skuad apabila mengumumkan kehadiran pemain tengah Portugal, Bernardo Silva dengan kontrak selama dua tahun sehingga Jun 2028.

Pemain berusia 31 tahun itu menyertai gergasi Sepanyol berkenaan secara percuma selepas kontraknya bersama Manchester City berakhir pada penghujung musim lalu.

“Real Madrid dan Bernardo Silva mencapai persetujuan untuk beliau menjadi pemain Real Madrid bagi tempoh dua musim akan datang sehingga 30 Jun 2028,” menurut kenyataan kelab itu.

Silva meninggalkan Stadium Etihad selepas sembilan musim penuh gemilang bersama City sejak menyertai kelab itu daripada Monaco pada 2017.

Sepanjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, dia membuat 459 penampilan dan menjaringkan 76 gol selain membantu City memenangi 20 trofi utama.

Antara kejayaan terbesar dicapainya termasuk enam gelaran EPL, empat daripadanya diraih secara berturut-turut dari 2021 hingga 2024.

Dia turut menjadi tonggak utama skuad City yang memenangi treble bersejarah pada 2023 selepas menjuarai EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

Ketika ini Silva sedang bersama skuad Portugal yang beraksi di Piala Dunia dan dijangka diturunkan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan K menentang DR Congo di Houston.

Kehadiran Silva dilihat sebagai sebahagian daripada usaha besar-besaran Real untuk kembali menjadi kuasa utama Eropah selepas melalui dua musim tanpa sebarang trofi utama.

Musim lalu, Los Blancos menamatkan saingan La Liga di belakang Barcelona dan tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Presiden Real, Florentino Pérez sebelum ini melantik Jose Mourinho sebagai pengendali baharu pasukan, manakala kelab itu turut membawa masuk Marc Cucurella daripada Chelsea.

Real juga dilaporkan hampir mendapatkan khidmat Ibrahima Konate sebaik kontraknya bersama Liverpool tamat, selain terus dikaitkan dengan Denzel Dumfries dari Inter Milan.

Bagi Silva, perpindahan ke Santiago Bernabeu membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas mencipta hampir segala-galanya bersama City

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top