Pelajar cari makan bawa 'prebet sapu' dikompaun

Pelajar cari makan bawa 'prebet sapu' dikompaun

am@hmetro.com.my

Kangar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaman tiga pemandu kereta ‘prebet sapu’ selepas didapati berlegar di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau sehingga menimbulkan kesesakan lalu lintas, semalam.

Tindakan kompaun diambil selepas menerima aduan awam mendakwa kehadiran kenderaan itu ‘bersidai’ di kawasan itu terutama ketika waktu ketibaan kereta api.

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, pemandu prebet sapu itu didapati menyasarkan penumpang terdiri daripada penuntut universiti awam di sekitar Arau dan Sintok, Kedah yang baharu tiba di stesen itu.

“Siasatan awal kita mendapati pemandu yang disaman ini ada antaranya adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menggunakan kereta sendiri.

“Orang ramai tidak sepatutnya menggunakan perkhidmatan kereta ‘prebet sapu’ ini kerana tidak dilindungi insurans jika berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan sekatan jalan raya sempena penutup Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Kampung Bakau-Padang Behor, di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, pemandu kenderaan ‘prebet sapu’ ini sering menjadikan lokasi Stesen KTMB Arau dan Padang Besar sebagai lokasi mereka menjalankan kegiatan secara tidak sah.

“Ini berdasarkan risikan pihak kami selama ini yang mendapati kenderaan atau kereta yang menjalankan kegiatan ini adalah kereta sama sahaja.

“Selain itu, kita difahamkan khidmat ‘prebet sapu’ ini menawarkan tambang antara RM30 hingga RM50 bagi perjalanan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dari stesen Arau.

“Manakala bagi perjalanan dari stesen Padang Besar pula, lazimnya pemandu ini akan mengambil antara RM10 hingga RM15 untuk ke Arked Niaga Padang Besar dan sekitarnya,” katanya.

Katanya, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan salah guna lesen kenderaan motor (LKM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top