Ahli kumpulan menyalahi undang-undang mengaku cederakan peniaga di malam raya

Ahli kumpulan menyalahi undang-undang mengaku cederakan peniaga di malam raya

surayaroslan@mediaprima.com.my

Ampang: Pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki dalam kejadian rusuhan pada malam raya, 30 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Zulfika Abdul Rahman, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mahkamah turut memerintahkannya dipenjara sebulan jika gagal membayar denda, Mohd Zulfika membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, bapa dua anak itu bersama sembilan lelaki memukul Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil, 38, yang juga seorang peniaga dengan menggunakan buku lima dan kayu di bahagian kepala dan menendang serta memijak badan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian mata kanan.

Ahmad Syafiq Akmal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan mendapat rawatan di Hospital Ampang, pada jam 2.30 pagi sehari selepas itu polis menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam kejadian dan hasil siasatan mendapati tertuduh antara yang terbabit dalam rusuhan itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zulfika didakwa bersama-sama lapan lagi yang masih bebas adalah ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang di mana tujuan untuk mencederakan Ahmad Syafiq Akmal di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Keramat, dekat sini pada jam 11.30 malam, 30 Mac lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guam yang menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh insaf dan memohon maaf atas kejadian ini serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Anak guam bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan, kini menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia dua dan empat tahun yang mana salah seorangnya adalah kanak-kanak autistik,” katanya.

Bagaimanapun, Norhidayah memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes di mana kejadian berlaku pada malam raya yang sepatutnya menggembirakan semua pihak.

“Tetapi mangsa dicederakan dengan sengaja, mahkamah pula perlu mengambil kira kecederaan mangsa dan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjual kuih sejuk beku, Muhammad Haziq Hezri, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Dengan pengakuan tidak bersalah itu, Amalina Basirah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai dan 16 Mei untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan antara dua kumpulan membabitkan 10 lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Hulu Kelang pada 2.30 pagi.

Siasatan mendapati rusuhan berpunca apabila salah seorang dari kumpulan suspek telah membuat provokasi, menyebabkan seorang lagi suspek menghubungi rakan-rakannya lalu berlaku pergaduhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top