Koperal tertembak diri sendiri meninggal dunia

Koperal tertembak diri sendiri meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Georgetown: Koperal yang parah akibat tertembak diri sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, Selasa lalu meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Koperal A Francis, 58, dilapor menghembus nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) HPP, jam 5.12 petang.

Mendiang berkhidmat di Kem Komandan, Jabatan Pengurusan, IPK Pulau Pinang itu sebelum ini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga anggota berkenaan.

“Saya, isteri serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.

“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudah segala urusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan mengenai Koperal yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu, ditemukan cedera di bahagian kepala di bilik pengawal pada jam 6.12 petang.

Anggota berkenaan mengalami cedera parah di kepala akibat tertembak diri sendiri dengan sepucuk senjata jenis pistol dan kes disiasat mengikut Seksyen 39, Akta Senjata 1960.

Hamzah turut menegaskan tiada keperluan bagi memperketatkan penggunaan senjata api dalam kalangan anggotanya susulan insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top