am@hmetro.com.my
Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menyifatkan penganjuran Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM Bersama Harian Metro Edisi Kedua umpama serampang dua mata.
Pengarah JPNS, Khalidah Omar berkata, penganjuran pertandingan itu bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama strategik agensi korporat dan media massa dengan JPNS, malah memartabatkan seni warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.
“JPNS menzahirkan rasa bangga dan sokongan padu terhadap penganjuran pertandingan pantun peringkat Zon Selatan ini yang menyaksikan pembabitan aktif wakil sekolah menengah dari Negeri Sembilan.
“Inisiatif kolaboratif antara gergasi korporat DRB-HICOM dan agensi media terkemuka Harian Metro ini adalah satu platform yang sangat bernilai dalam usaha memartabatkan seni warisan bangsa serta memperkasakan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Khalidah berkata, pertandingan ini bukan sekadar medan persaingan, malah satu usaha murni untuk menghidupkan semula estetika pantun dan keindahan peribahasa Melayu.
“Melalui gabungan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif, dan spontan, pelajar diasah untuk menghayati seni bahasa yang menjadi identiti serta akar budaya kita,” katanya.
Beliau turut menambah, pembabitan pelajar dari Zon Selatan mencerminkan semangat perpaduan dan muhibah yang kukuh menerusi aktiviti kokurikulum.
Jelas beliau, antara fokus utama penganjuran edisi kali ini adalah dengan Memartabatkan Warisan Bahasa- memupuk kecintaan murid terhadap keindahan struktur pantun dan kedalaman makna peribahasa.
“Jaringan Strategik Media- mengukuhkan kerjasama pintar antara sektor awam (pendidikan), korporat, dan media massa.
“Pembangunan Sahsiah Murid- melahirkan murid yang berkeyakinan tinggi, berfikiran tajam, serta berketrampilan di atas pentas,” katanya.
Justeru beliau berkata, JPNS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak DRB-HICOM dan Harian Metro atas komitmen berterusan dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negara.
“JPNS juga mengucapkan selamat bertanding kepada semua pasukan sekolah menengah dari Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
“Semoga pertandingan ini menjadi pemangkin kepada penganjuran program kebudayaan yang lebih berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM Bersama Harian Metro dibuka kepada pelajar sekolah menengah harian warganegara Malaysia daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, kecuali sekolah berasrama penuh.
Penyertaan dibuka mulai 10 hingga 31 Ogos ini dengan setiap kumpulan terdiri daripada tiga pemantun dan seorang peserta simpanan.
Setiap kumpulan perlu membalas tiga rangkap pantun yang dijual oleh Harian Metro, selain memuat naik tiga pantun bertulis serta pautan video pantun interaktif berdurasi tidak lebih daripada tiga minit di Google Form penyertaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

