Sao Paulo: Kelab Brazil, Corinthians mengesahkan mereka melanjutkan kontrak penyerang Belanda, Memphis Depay selama dua tahun selepas pemain itu bersetuju menerima pengurangan gaji.
Minggu lalu, kelab berpangkalan di Sao Paulo itu mengumumkan mereka tidak akan menyambung kontrak Depay, yang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda dengan 55 gol, atas faktor kos.
“Saya sangat, sangat gembira. Saya tidak sabar untuk kembali bekerja dan kami mempunyai banyak perkara untuk diperjuangkan,” kata bekas penyerang Barcelona dan Manchester United itu dalam video yang dikongsikan Corinthians.
Presiden Corinthians, Osmar Stabile berkata Depay, 32, memperbaharui kontraknya selepas menerima pengurangan gaji yang menamatkan pertikaian terbuka dengan kelab itu.
“Ia rundingan yang panjang tetapi berakhir dengan cara terbaik untuk Corinthians dan Memphis, yang saya sangat berterima kasih atas segala usahanya untuk kekal,” kata Stabile.
Media Brazil melaporkan Depay akan menerima bayaran sekitar AS$25 juta (RM101 juta) bagi tempoh tambahan dua tahun itu.
Laporan itu menyebut jumlah berkenaan termasuk wang yang masih terhutang kepada Depay daripada kontrak asalnya serta hak imej, tetapi tidak termasuk bonus berdasarkan prestasi.
Depay sudah menjaringkan 20 gol dalam 79 perlawanan sejak menyertai Corinthians pada September 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd

