bhsukan@bh.com.my
ALOR SETAR : Kedah Darul Aman FC ( KDA FC) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, sebentar tadi.
Penyerang, Kipre Tchetche menjadi wira skuad Lang Merah apabila jaringannya pada masa kecederaan berjaya menjulang skuad Aidil Sharin Sahak dan mengembirakan lebih 1,200 penyokong tuan rumah.
Aksi babak pertama bermula perlahan, sebelum tuan rumah tampil mengasak kubu pelawat menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ketiga, disusuli Tchetche lima minit kemudian, namun buntu.
KL City membalas serangan melalui penyerang dan juga kapten pasukan, Paulo Josue hasil gerakan pantas pemain sayap Hadin Azman namun barisan pertahanan Kedah pantas menghadang. Kedudukan kekal 0-0 sehingga babak pertama berakhir.
Pelawat bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan gol melalui sepakan leret Paulo Josue pada minit ke-49 untuk meletakkan skuad ibu kota di depan.
Kedah selepas itu berjaya bangkit pada minit ke-70 melalui rembatan kencang pemain sayap muda, Fayadh Zulkifli yang menerima hantaran Tchetche dari bahagian kiri gawang KL City.
Pelawat bagaimanapun sekali lagi mengejutkan Kedah dengan gol kedua apabila sepakan sudut pada minit ke-78 dimanfaatkan Giancarlo Galllifouco. Selepas itu tuan rumah dihadiahkan penalti susulan Rozaimi Abdul Rahman dijatuhkan yang kemudian disempurnakan Tchetche untuk kedudukan 2-2.
Kedah mendapat jaringan kemenangan pada masa kecederaan menerusi Tchetche untuk kedudukan muktamad 3-2.
© New Straits Times Press (M) Bhd
