PUTRAJAYA: Sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya direkodkan pada tahun lalu, bersamaan kira-kira 18 nyawa setiap hari.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang lebih membimbangkan, walaupun motosikal hanya mewakili sekitar 14 peratus daripada kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian jalan raya.
“Ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal.
“Bagi saya, angka ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan secara biasa. Intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi, di samping menangani faktor lain seperti keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi JK-MKKJR berkata, kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.
Untuk mencapainya, kata beliau, penyelarasan dasar, sumber dan akauntabiliti antara kementerian serta agensi mesti diperkukuh supaya setiap intervensi bukan sahaja dilaksanakan, tetapi menghasilkan pengurangan kematian dan kecederaan serius yang dapat diukur.
Selain itu, katanya, kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada tahun 2025 dianggarkan sekitar RM30 bilion berdasarkan pendekatan Value of Statistical Life
(VOSL).
“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab keselamatan juga tidak terhenti di pintu tempat kerja apabila data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada tahun lalu adalah 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan industri.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan Op Cegah akan diperkukuh melalui kerjasama PERKESO, PDRM, JPJ dan majikan dengan menggunakan data untuk mengenal pasti organisasi serta kawasan berisiko tinggi.
Bagi meningkatkan keselamatan kenderaan berat, mesyuarat turut bersetuju supaya Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) dilaksanakan secara berfasa melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan, PETRONAS, APAD, JPJ dan MIROS.
“Kepakaran industri dalam pemanduan defensif, pengurusan keletihan serta pemantauan tingkah laku pemandu akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemandu kenderaan berat,” katanya. – UTUSAN
