Gila bayang lelaki muda

Gila bayang lelaki muda

rencana@hmetro.com.my

LULUH hati seorang isteri apabila mengetahui suami yang dinikahi selama hampir 30 tahun berubah orientasi seks menjadi seorang biseksual angkara sihir pemisah.

Keadaan itu menyebabkan isterinya tawar hati selepas pelbagai usaha menyelamatkan rumah tangga tidak berjaya, lalu memfailkan tuntutan perceraian dan disahkan bercerai awal tahun ini.

Perkara itu dikongsikan peguam syarie, Abdul Muim Abdullah yang mengendalikan kes berkenaan.

Menurut Abdul Muim, kedua-dua pasangan suami isteri itu berusia awal 50-an dan si isteri mengenal pasti perubahan sikap yang ketara selain layanan dingin suami terhadapnya dan anak sangat menjejaskan emosi seluruh keluarga.

“Lebih dukacita apabila terbongkar perbuatan suaminya menjalinkan hubungan terlarang dengan lelaki lain menerusi e-mel dan perbualan WhatsApp di telefon lain yang disorok.

“Pelbagai usaha isteri lakukan untuk membawa suami kembali ke pangkal jalan termasuk berunding dan memberi peluang kedua.

“Namun, hanya sia-sia kerana suami tiada sebarang perubahan sikap dan diketahui suaminya masih meneruskan hubungan dengan kekasih gelapnya.

“Suami wanita ini diminati seorang lelaki yang lebih muda usianya yang melakukan sihir pemisah.

“Ini menyebabkan suaminya berubah sikap hingga mengabaikan isteri dan keluarga,” katanya.

Katanya, perubahan ketara suami wanita itu ialah pulang kerja lewat malam, pergi bercuti tanpa membawa keluarga dan melepak bersama rakan-rakan kekasihnya termasuk sanggup menghabiskan banyak wang untuk perbelanjaan bukan pada urusan isteri serta anak.

“Wanita ini sangat kecewa kerana suaminya menjalinkan hubungan dengan lelaki, apatah lagi usia anak sulung sudah 28 tahun.

“Saya yang mengendalikan kes ini juga terkejut kerana isu rumah tangga ini membabitkan orang ketiga iaitu lelaki dan wujud unsur sihir pemisah,” katanya.

Abdul Muim berkata, kes kedua membabitkan sihir pemisah dikendalikan ialah suami melafazkan cerai kerana menganggap isterinya gila hingga berupaya mengancam keselamatannya.

“Suami mengatakan isteri meracau dan mahu memukul dirinya (suami) jika tidak diceraikan hingga akhirnya dia melafazkan talak,” katanya.

Menurutnya, kes itu dibicarakan kerana ada isu lafaz cerai luar mahkamah.

Katanya, tidak dinafikan ada pelbagai masalah rumah tangga yang membawa kepada perceraian dipengaruhi unsur sihir pemisah yang lazimnya berlaku dalam dua keadaan.

“Pertama ialah sihir pemisah yang tidak diketahui tanpa sedar menyebabkan hubungan rumah tangga menjadi panas dan menjadi punca kepada perceraian.

“Contoh suami menjadi panas baran, tiba-tiba tidak suka kepada isteri dan sentiasa bergaduh hingga berlakunya isu lafaz cerai tanpa sedar.

“Kedua sihir pemisah yang diketahui berpunca daripada pengaruh luar atau pihak ketiga, juga menyebabkan perubahan sikap dan layanan suami isteri hingga menghilangkan keharmonian rumah tangga. Ini menjadi punca pasangan tawar hati hingga memfailkan perceraian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top