Guna karikatur tindakan tak matang, kebudak-budakan – Kor Ming

Guna karikatur tindakan tak matang, kebudak-budakan – Kor Ming

am@hmetro.com.my

Tapah: DAP menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan karikatur yang menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung parti itu Anthony Loke ketika berhimpun berdekatan lokasi penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di sini hari ini sebagai mencerminkan pendekatan politik yang tidak matang.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, beliau kesal dengan tindakan parti pembangkang itu yang disifatkan juga tidak wajar dibuat sewaktu proses penamaan calon bahkan dianggap sebagai kebudak-budakan.

Menurut Nga yang juga Pengerusi DAP Perak, sindiran melalui karikatur sebegitu pastinya berniat jahat serta tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara.

“Saya kesal dengan tindakan parti PN yang menggunakan karikatur yang seolah-olahnya menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Loke.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan pendekatan politik yang sangat tidak matang. Sindiran melalui karikatur sebegini, cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar yang perlu kita atasi bersama seperti perang tarif Trump (Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Nga lagi, sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, pihaknya percaya bahawa perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan,.

“Bukannya secara mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan serta memperalatkan agama serta kaum sebagai modal murahan. Negara kita memerlukan politik yang membina, bukan membinasa.

“Pakatan Harapan (PH) komited dan cakna untuk memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Ayer Kuning ini bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penyokong PN yang berhimpun berdekatan lokasi penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung di Dewan Merdeka Tapah, pagi ini dilihat mempamerkan sepanduk tertera karikatur yang menyindir pentadbiran kerajaan sekarang.

Antara karikatur yang tertera pada sepanduk dibawa penyokong itu dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan sepanduk tertera emoji ketawa yang terdapat di media sosial.

Sementara itu, dalam maklum balas menerusi mesej yang diberikan kepada media, Anthony secara berseloroh mengucapkan terima kasih atas tindakan penyokong PN itu yang ‘membawanya’ ke proses penamaan calon itu biarpun hakikatnya beliau tidak hadir.

“Terima kasih kerana membawa ‘kehadiran’ saya di Ayer Kuning walaupun saya tidak dapat hadir bersama dalam proses penamaan calon untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top