Sibu: Seorang warga emas mempertaruhkan nyawa menyelamatkan lapan cucu serta seorang anak lelakinya apabila rumah keluarga mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jeriah Abang Ramli, Jalan Oya Lama, di sini, pagi semalam.
Mengimbau detik cemas itu, Umar Sidee, 66, berkata, ketika kejadian beliau bersama isterinya sedang membersihkan kebun yang terletak kira-kira enam meter dari rumah dua tingkat berstruktur tidak kekal yang didiami 19 anggota keluarga daripada tiga keluarga adik-beradik.
Beliau berkata, lapan cucunya yang berusia antara empat hingga 14 tahun ketika itu sedang menonton televisyen di ruang tamu tingkat bawah, manakala seorang anak lelakinya berusia lingkungan 20-an sedang tidur di bilik di tingkat atas.
“Isteri saya tiba-tiba menjerit memberitahu rumah kami terbakar. Pada masa sama, saya terdengar beberapa bunyi letupan.
“Sebaik melihat api marak dari bahagian belakang rumah, saya terus berlari masuk dan membawa keluar semua cucu yang berada di dalam rumah sebelum bergegas ke tingkat atas untuk mengejutkan anak saya yang sedang tidur,” katanya kepada Bernama.
Umar yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, walaupun berdepan asap tebal dan keadaan yang semakin panas, beliau tetap menggagahkan diri memastikan tiada penghuni yang tertinggal di dalam rumah sebelum menyelamatkan diri.
“Walaupun usia saya sudah lanjut, ketika itu yang saya fikirkan hanyalah keselamatan cucu dan anak. Syukur, semuanya berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, sebaik semua ahli keluarga berjaya keluar dari rumah, beliau bersama beberapa penduduk kampung cuba memadamkan kebakaran menggunakan baldi berisi air, namun usaha itu gagal apabila api merebak dengan pantas.
“Api terlalu marak. Ramai penduduk datang membantu, tetapi kami tidak mampu mengawalnya,” katanya.
Beliau berkata, sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, mereka diarahkan menjauhi kawasan rumah berikutan keadaan yang semakin berbahaya dan hanya mampu menyaksikan kediaman itu musnah dijilat api.
Lebih menyedihkan, kebakaran itu memusnahkan rumah yang dibinanya secara berperingkat selama hampir empat dekad hasil titik peluh sendiri.
Menurut Umar, rumah berkenaan mula dibina selepas beliau menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada 1995 sebelum meneruskan kerjaya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2003.
“Apabila anak-anak semakin membesar dan berkeluarga, saya menambah sedikit demi sedikit ruang rumah ini. Apabila cucu semakin ramai, saya besarkan lagi rumah dan ia hanya siap sepenuhnya tahun lepas.
“Namun semuanya musnah dalam sekelip mata,” katanya.
Beliau berkata, meskipun tidak sempat menyelamatkan dokumen penting serta harta benda berharga, beliau reda menerima ujian yang menimpa keluarganya.
“Yang penting, nyawa anak dan cucu selamat. Harta benda boleh dicari semula, tetapi mereka tiada galang ganti,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, rumah berkenaan musnah sepenuhnya, menyebabkan keluarga itu tinggal sehelai sepinggang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




