Teknologi padi hibrid

Teknologi padi hibrid

lizamridzuan@hmetro.com.my

Dalam usaha memperkukuh jaminan keselamatan makanan negara dan meningkatkan keupayaan pengeluaran padi secara berterusan, pembangunan benih padi hibrid tempatan dikenal pasti sebagai antara pendekatan strategik yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan secara meluas.

Teknologi padi hibrid menawarkan potensi hasil yang lebih tinggi berbanding varieti biasa, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan daya saing industri padi negara di peringkat serantau.

Secara asasnya, benih padi hibrid dihasilkan melalui proses kacukan dua varieti induk yang masing-masing memiliki ciri-ciri agronomi unggul seperti ketahanan terhadap penyakit, daya hasil yang tinggi dan kesesuaian dengan persekitaran tempatan.

Hasil daripada proses kacukan ini ialah benih generasi pertama (F1) yang menggabungkan ciri-ciri terbaik kedua-dua induk dan benih ini sahaja yang sesuai ditanam untuk mendapatkan hasil optimum.

Namun, benih yang dihasilkan daripada tanaman F1 dikenali sebagai generasi kedua (F2) dan tidak sesuai digunakan semula bagi musim penanaman berikutnya kerana berlakunya segregasi genetik yang menyebabkan ketidakseragaman sifat dan penurunan hasil.

Justeru, pesawah yang mengusahakan varieti padi hibrid perlu bergantung kepada bekalan benih F1 yang dikeluarkan secara khusus dan terkawal oleh pengeluar benih diiktiraf Jabatan Pertanian Malaysia.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, Jabatan Pertanian amat komited dalam menyokong pembangunan benih padi hibrid tempatan sebagai salah satu pendekatan untuk memperkukuh ekosistem pertanian negara.

Beliau menekankan bahawa pelaksanaan teknologi ini memerlukan pembabitan aktif dan kolaboratif antara semua pihak berkepentingan termasuk petani, institusi penyelidikan, pengeluar benih dan agensi pelaksana.

Untuk perbandingan, varieti padi jenis inbred seperti MR297, MR263, MR220 CL-1, MRQ50 dan Putra 1 yang dibangunkan institusi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Agensi Nuklear Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) boleh dibiakkan semula tanpa melalui proses kacukan.

Benih inbred ini juga boleh digunakan semula untuk beberapa musim penanaman sekiranya pengurusan benih dilaksanakan secara sistematik dan menepati Amalan Pertanian Baik (APB) seperti yang digariskan pihak berkuasa pertanian.

Malaysia mencatatkan kejayaan penting dalam bidang ini apabila Mardi berjaya membangunkan varieti padi hibrid tempatan dikenali sebagai Kadaria 1 (kod varieti MR12H) pada 2019.

Varieti Kadaria 1 ini mempunyai potensi hasil sehingga 10 tan sehektar dengan tempoh matang sekitar 104 hingga 106 hari, selain memiliki ciri-ciri beras yang menepati piawaian pengilangan tempatan.

Rasa nasi yang dihasilkan daripada varieti ini juga menepati cita rasa pengguna tempatan, menjadikannya berpotensi tinggi untuk dikomersialkan bagi pasaran domestik.

Namun usaha pengkomersialan varieti padi hibrid tempatan seperti Kadaria 1 masih berdepan beberapa cabaran utama termasuk kekurangan kemahiran teknikal dan permintaan yang rendah dalam kalangan pesawah.

Sehingga kini, belum terdapat syarikat benih tempatan yang tampil untuk mengkomersialkan benih Kadaria 1 secara berskala besar, sekali gus mengehadkan penyebaran teknologi ini ke lapangan.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut mengingatkan bahawa penggunaan benih padi sama ada hibrid atau inbred, yang dibawa masuk secara tidak sah dari luar negara adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh membawa risiko kemasukan penyakit dan serangga perosak.

Bagi memastikan pengeluaran dan penggunaan benih padi hibrid dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan, Jabatan Pertanian menyediakan dokumen panduan bertajuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM – 2009) serta merujuk Manual Teknologi Penanaman Padi Hibrid terbitan Mardi sebagai rujukan utama kepada para pesawah dan pemain industri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top