am@hmetro.com.my
Mersing : Suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 19, Jalan Endau-Mersing di sini hari ini.
Mangsa yang maut adalah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan isteri, Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.10 petang.
“Siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang menghala ke arah Mersing dipercayai telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta mangsa kemudian telah melanggar Toyota Innova dan Cherry Omoda. Ketika kejadian, keadaan cuaca dilaporkan hujan lebat,” katanya di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah di beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu Toyota Innova berusia 53 tahun mengalami patah jari kaki kanan dan isterinya berusia 53 tahun hanya cedera ringan.
Manakala, pemandu Chery Omoda berusia 75 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa yang beralamat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




