PEMAIN skuasy wanita utama negara, S Sivasangari terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah ke suku akhir Kejuaraan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 selepas tewas di tangan wakil tuan rumah, Salma Hany.
Pemain nombor 11 dunia itu memulakan perlawanan dengan baik, meraih kemenangan pada perlawanan pertama dan kedua dengan keputusan 11-9 dan 11-4. Namun, Sivasangari kehilangan momentum selepas tewas dalam tiga set berikutnya dengan keputusan 7-11, 2-11, dan 8-11. Perlawanan tersebut berlangsung selama 51 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kedua bagi Sivasangari dalam tiga pertemuan dengan pemain nombor 13 dunia, Salma Hany.
Sebelum perlawanan ini, Sivasangari mara ke pusingan kedua kejohanan tersebut selepas menewaskan rakan senegara Aira Azman dalam masa hanya 17 minit.
Sementara itu, seorang lagi jaguh skuasy wanita negara, Rachel Arnold, akan berdepan dengan pemain nombor empat dunia, Olivia Weaver dari Amerika Syarikat dalam usaha beliau memburu slot ke suku akhir kejohanan ini pada hari ini.