Malaysia tuntut KDA Norway bayar RM1.06 bilion

Malaysia tuntut KDA Norway bayar RM1.06 bilion

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan menuntut sebanyak EUR226.13 juta atau kira-kira RM1.06 bilion daripada firma pembekal Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), berhubung pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) oleh kerajaan Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta, iaitu bayaran yang sudah dibuat oleh kerajaan.

Selain itu katanya, tuntutan tidak langsung adalah sebanyak EUR96.26 juta membabitkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.

“Berhubung isu pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) oleh kerajaan Norway, pada masa ini jumlah sebenar kos tambahan atau ‘overrun cost’ yang akan ditanggung oleh kerajaan masih belum dapat dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada kaedah penyelesaian yang akan dipersetujui serta pilihan penggantian sistem persenjataan yang sedang dinilai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang disiarkan di laman web Parlimen semalam, yang meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan Sea Trial Kapal KD Maharaja Lela oleh pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yang dilaksanakan pada hari terakhir bulan April 2026 dan berapa jumlah kos overrun yang mungkin terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat pembatalan kontrak peluru berpandu jenis NSM dari Norway.

Mengulas mengenai KD Maharaja Lela, Mohamed Khaled berkata, beberapa siri ujian dan penilaian dilaksanakan secara berperingkat bagi mengesahkan prestasi platform, sistem navigasi, sistem pendorongan dan sistem-sistem utama kapal sebelum proses penerimaan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kementerian dimaklumkan bahawa pelaksanaan Sea Trial yang dilaksanakan oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) pada 29 April lalu sudah berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan serta menunjukkan kemajuan positif.

“Penerimaan rasmi kapal tertakluk kepada penyempurnaan Sea Acceptance Trial, pembetulan sebarang penemuan teknikal dan pengesahan akhir oleh TLDM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top