Lelaki maut, kereta dipandu terbabas selepas serangan jantung

Lelaki maut, kereta dipandu terbabas selepas serangan jantung

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 47 meninggal dunia dipercayai terkena serangan jantung ketika memandu kereta di Kilometer 5.1 Jalan Kota Tinggi-Kluang pada awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian itu kenderaan dinaiki lelaki itu bersama isterinya juga hilang kawalan hingga terbabas dan terbalik.

Beliau berkata, pada jam 2.45 awal pagi, polis menerima panggilan berkaitan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan terbabas berhampiran sebuah hotel di pusat bandar.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun bersama isterinya berusia 46 tahun.

Katanya, pemandu berkenaan yang bekerja kampung dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu dan maut di tempat kejadian.

“Mayat kemudian dibawa ke unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tindakan susulan.

“Manakala isterinya dirujuk ke hospital bagi mendapat rawatan,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan polis.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top