PDT Kuala Pilah tegas tangani pencerobohan tanah, tiada layanan dua darjat

PDT Kuala Pilah tegas tangani pencerobohan tanah, tiada layanan dua darjat

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP) menjelaskan tindakan merampas sebuah jentera yang dikesan menjalankan kerja pembersihan tanpa kebenaran di atas tanah rizab sungai adalah selaras dengan peruntukan undang-undang, susulan dakwaan wujud layanan dua darjat dalam isu pencerobohan tanah.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin, berkata tindakan itu diambil mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) selepas menerima aduan lisan mengenai aktiviti pencerobohan tanah kerajaan di Kampung Tering, Johol, pada 13 Februari lalu.

“Anggota penguat kuasa PDTKP ke lokasi sekitar 3.15 petang dan mendapati sebuah jentera jenis ekskavator sedang menjalankan kerja pembersihan tanah atas rizab sungai milik kerajaan.

“Semakan mendapati tiada dokumen kebenaran dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau Pentadbir Tanah Daerah bagi sebarang kerja di kawasan itu. Maka, pemilik jentera diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan menyerahkan kunci kepada pihak penguat kuasa.

“Jentera berkenaan kemudian dibawa dan disimpan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Pilah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tindakan merampas jentera terbabit dilakukan mengikut perenggan 426A(1)(b) KTN dan boleh dilaksanakan tanpa waran.

“Melakukan kerja tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan adalah kesalahan di bawah perenggan 425(1)(b) KTN. Jika sabit, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mengulas dakwaan individu di media sosial yang membangkitkan isu layanan tidak adil berhubung rampasan jentera dan membandingkannya dengan kes di Raub, Pahang dan Dengkil, Selangor, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.

“PDTKP turut mengambil tindakan awal untuk mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap tanah kerajaan di lokasi terbabit,” katanya.

Mengakui pihaknya dimaklumkan tujuan kerja pembersihan adalah untuk membina laluan akses ke tanah milik persendirian, Nawal menjelaskan sebarang kerja membabitkan tanah kerajaan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Pentadbir Tanah.

“Kebenaran penting bagi memastikan kerja menepati piawaian teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lebih-lebih lagi tanah itu termasuk dalam rizab Sungai Jelai dan kawasan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka siap pada 2029.

“Kerja pembersihan tanpa kawalan boleh mengundang kesan buruk, terutama kepada penduduk kampung yang saban tahun terpaksa berdepan masalah banjir,” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak, khususnya bukan anak tempatan Kuala Pilah, supaya mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum menjalankan sebarang aktiviti membabitkan tanah kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top