Nama pelakon Indonesia, Sekar Arum Widara kembali menjadi tumpuan, namun kali ini bukan kerana lakonan tetapi dakwaan serius yang menggemparkan industri hiburan seberang.
Sekar, 41, dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menggunakan wang palsu di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kemang, Jakarta Selatan.
Menurut kenyataan rasmi daripada Balai Polis Jakarta Selatan, kejadian berlaku pada 2 April lalu ketika Sekar sedang melakukan transaksi pembelian seperti biasa.

Namun, situasi bertukar cemas apabila juruwang yang memeriksa wang yang diberikan mendapati ia palsu selepas diimbas menggunakan sinar UV.
Transaksi pembelian dibatalkan sebelum pengawal keselamatan membuat laporan polis.- Ujar jurucakap polis.
Apa yang mengejutkan, ketika ditahan, pihak berkuasa menemui wang palsu berjumlah lebih RM59,000 di dalam beg milik Sekar.
Pelakon yang pernah popular kerana kecantikan wajahnya sewaktu muda itu dipercayai sempat melakukan pembelian di sebuah premis lain sebelum kembali ke lokasi asal beberapa jam kemudian.

Percubaan ketiganya untuk membuat bayaran menggunakan 11 keping wang kertas Rp100,000 akhirnya membawa kepada penahanannya.
Kini, Sekar berdepan risiko berat apabila berkemungkinan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun sekiranya disabitkan kesalahan.