PETALING JAYA: Batik Air membatalkan lapan penerbangan berjadual antara Kuala Lumpur dan Jakarta hari ini berikutan aktiviti gunung berapi yang berterusan di Gunung Anak Krakatau, Indonesia.
Syarikat penerbangan itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas penilaian operasi terkini serta hasil penyelarasan berterusan dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan dan pengendali lapangan terbang.
“Penumpang yang terjejas boleh memohon untuk menukar perjalanan ke penerbangan Batik Air seterusnya yang tersedia, tertakluk kepada kekosongan, atau memohon bayaran balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lapan penerbangan yang dibatalkan ialah OD398, OD399, OD346, OD347, OD388, OD389, OD390 dan OD391.
Daripada jumlah itu, enam penerbangan membabitkan laluan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Jakarta, manakala dua lagi adalah perkhidmatan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Jakarta.
Aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, yang terletak antara Pulau Jawa dan Sumatera, turut menjejaskan operasi penerbangan di rantau berkenaan susulan penyebaran abu gunung berapi.
Beberapa lapangan terbang di Indonesia, termasuk lapangan terbang utama Jakarta, turut mengalami gangguan operasi akibat abu gunung berapi, dengan penutupan dan pembatalan penerbangan dilakukan atas faktor keselamatan.
Batik Air Malaysia merupakan syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi di bawah kumpulan Lion Air. – UTUSAN
