HONDA Malaysia kini secara rasmi membuka tempahan untuk model kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama mereka Honda e:N1 Serba Baharu untuk pasaran tempatan.
Ia bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini dan menjadi langkah awal Honda Malaysia ke arah perjalanan elektrifikasi.
Honda e:N1 dibina menerusi e:N Architecture F, iaitu platform pacuan hadapan (FWD) yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh, menghasilkan output maksimum 150kW dan tork 310Nm, dengan jangkauan pemanduan sehingga 500km (NEDC).
Reka bentuk e:N1 menampilkan gaya ringkas dan moden serta ciri praktikal untuk kegunaan harian dengan bahagian luaran termasuk lampu utama LED sepenuhnya, lampu belakang jalur LED bergaya, dan port pengecasan hadapan tersembunyi untuk pengecasan AC dan DC, lengkap dengan indikator pengecasan di atas gril hadapan untuk pemantauan mudah.
Selain itu ia juga dilengkapi rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dan identiti reka bentuk unik bagi BEV Honda seperti lencana “H” berwarna putih iaitu simbol baharu bagi elektrifikasi Honda.
e:N1 mempunyai dimensi panjang 4,380 milimeter (mm), jarak roda 2,610mm, dan ketinggian 1,592mm, memberikan keseimbangan antara reka bentuk kompak dan ruang dalaman yang selesa.
Ia direka untuk pemandu urban yang mahukan keseimbangan antara prestasi, gaya dan kebolehgunaan harian dalam kereta elektrik (EV).
Model ini juga dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan termasuk Maklumat Titik Buta (BSI), Paparan Trafik Melintas (CTM) dan sembilan ciri Honda Sensing.
Untuk memberikan sokongan penuh kepada bakal pemilik e:N1, Honda Malaysia telah melantik lapan pengedar sah di tiga wilayah iaitu Tengah, Utara dan Selatan yang akan berfungsi sebagai pusat rujukan dan khidmat nasihat bagi model ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




