am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seramai 14 individu, termasuk tiga wanita, direman lima hari bermula hari ini, oleh Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang daftar kelahiran palsu.
Perintah reman sehingga 20 April ini dibenarkan Majistret Ameera Mastura Khamis terhadap kesemua individu berusia 28 hingga 49 tahun.
Permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi.
Menurut sumber, kesemua individu itu ditahan jam 12.30 tengah hari hingga jam 6.30 petang di pejabat SPRM Selangor.
Tambahnya, siasatan mendapati, mereka ssudah membuat permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ini dibuat menerusi Borang Daftar Kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi terbabit di hospital-hospital terlibat.
“Mereka melakukan perbuatan itu sejak 2015 hingga 2023,” katanya.
Terdahulu, kesemua individu itu tiba di perkarangan Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dengan kenderaan SPRM, 9.11 pagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan perkara berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Media pada 12 Mac lalu melaporkan, SPRM menahan 16 individu kerana disyaki terbabit dalam rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warga negara kepada warga negara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dipetik berkata, kesemua suspek berusia 20-an hingga 70-an ditahan menerusi Op Outlander dan Op Birth ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Beliau berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan kira-kira setahun dengan kerjasama dan perkongsian maklumat di antara SPRM serta JPN.
© New Straits Times Press (M) Bhd