Tikam ibu hingga mati kerana enggan tukar nama rumah

Tikam ibu hingga mati kerana enggan tukar nama rumah
Polis telah menahan suspek yang dikenal pasti sebagai Raja Singh. Foto Agensi

Polis telah menahan suspek yang dikenal pasti sebagai Raja Singh. Foto Agensi

KANPUR – Seorang lelaki di Uttar Pradesh bertindak kejam dengan menikam ibunya hingga mati selepas enggan memenuhi permintaannya untuk memindahkan hak milik rumah kepada namanya sebagai syarat untuk berkahwin.

Suspek, Raja Singh, 28, yang bekerja sebagai petani telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian itu.

Menurut laporan media tempatan, mangsa, Pramila Singh, 55, sebelum ini tinggal bersama anak lelakinya, namun berpindah ke rumah anak perempuannya selepas mengalami kecederaan melecur akibat insiden kecil di rumah kira-kira 10 hari lalu.

Ketua polis, Mahesh Kumar berkata, Raja menjalin hubungan dengan seorang gadis dari kampung yang sama dan perkahwinan mereka telah ditetapkan baru-baru ini.

“Namun keluarga pihak perempuan meletakkan syarat bahawa Raja perlu memiliki rumah tersebut atas namanya sebelum perkahwinan berlangsung.

“Bagaimanapun, ibu Raja enggan menukarkan hak milik rumah itu, menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara mereka,” katanya.

Pada Rabu jam 9.45 pagi waktu tempatan, Raja dilaporkan telah pergi ke rumah kakaknya, Preetu, dan masuk ke bilik tempat ibunya sedang tidur sebelum menikam mangsa beberapa kali dengan pisau.

Jeritan mangsa didengari Preetu yang kemudian segera berlari ke bilik dan mendapati ibunya berlumuran darah di lantai, lalu menghubungi pihak polis.

Pihak berkuasa berjaya menahan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – Agensi

Scroll to Top