New York: Serena Williams mendakwa dia akan digantung selama 20 tahun sekiranya gagal dalam ujian doping seperti pemain nombor satu dunia lelaki, Jannik Sinner, yang hanya dikenakan penggantungan selama tiga bulan pada Februari lalu.
“Saya suka dia, saya suka sukan ini,” kata Serena, pemenang 23 gelaran Grand Slam, kepada majalah Time minggu ini selepas disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 individu paling berpengaruh.
“Dia bagus untuk sukan ini. Saya tak mahu menjatuhkan sesiapa. Tenis lelaki perlukan dia.”
“(Tetapi) kalau saya yang buat macam itu, saya mungkin digantung 20 tahun. Gelaran Grand Slam saya pun mungkin akan ditarik semula,” katanya lagi.
Sinner, yang penggantungannya akan berakhir pada 4 Mei, didapati dua kali positif menggunakan steroid anabolik terlarang clostebol pada Mac 2024.
Dia mempertahankan dirinya, mendakwa bahan itu masuk ke dalam sistem tubuhnya melalui urutan oleh seorang jurulatih.
Pemain Itali berusia 23 tahun itu bersetuju dengan penggantungan selepas mencapai persetujuan dengan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), yang mencabar keputusan awal Badan Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA), yang membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.
Serena, 43, berkata, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pengambilan bahan terlarang secara tidak sengaja, malah berseloroh bahawa jika terbabit dalam skandal doping, dia mungkin sudah meringkuk di dalam penjara.
Sinner, yang memenangi tiga gelaran Grand Slam, dijangka kembali beraksi di kejohanan Terbuka Itali (ATP 1000) di Rom yang bermula 5 Mei nanti.
Serena, yang bersara selepas Terbuka AS 2022, turut mengakui dia masih merindui dunia tenis.
“Saya sangat rindu, sepenuh hati saya. Saya rindu sebab saya masih sihat. Kalau saya sudah tak boleh berjalan, atau terlalu lemah, mungkin saya tak akan rasa rindu seperti sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



