am@hmetro.com.my
Batu Kawan: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di muara sungai dekat Jalan Batu Kawan menghala Jeti Batu Musang, di sini, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2 petang berhubung insiden berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterima remaja lelaki berusia 15 tahun itu dikatakan terjatuh ke dalam muara sungai berkenaan ketika sedang memukat ikan di kawasan itu.
“Anggota kemudian bertindak membuat kerja pencarian di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh dengan menggunakan teknik ‘water surface searching’.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut bersama-sama dalam operasi ini dengan bantuan BBP Butterworth ” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Jelasnya, kesemua anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu sehingga kini masih berada di lokasi kejadian susulan mangsa belum ditemui.
© New Straits Times Press (M) Bhd



