Suami isteri melecur dalam kebakaran dua rumah di Keningau

Suami isteri melecur dalam kebakaran dua rumah di Keningau

am@hmetro.com.my

Keningau: Suami isteri melecur selepas terbabit dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tudan Baru, di sini, malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 43 tahun melecur bahagian tangan sebelah kiri manakala isterinya berusia 42 tahun melecur di dahi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, sebaik menerima panggilan jam 7.24 malam, seramai 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari balai bomba.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan setiap rumah terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, pemilik rumah pertama pasangan suami isteri cedera melecur dan dihantar ke hospital dengan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 9.42 malam. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top