lizamridzuan@hmetro.com.my
Teknologi keselamatan kenderaan berkembang dengan begitu pesat sejak sedekad lalu dan jika suatu ketika dahulu ciri seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dianggap sebagai teknologi premium, kini semakin banyak model baharu di Malaysia dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (Advanced Driver Assistance Systems atau ADAS).
Malah, teknologi ini bukan lagi eksklusif untuk kenderaan mewah kerana ia sudah mula ditawarkan pada pelbagai segmen, daripada hatchback dan sedan hinggalah kepada SUV serta kenderaan elektrik (EV), sekali gus menjadikan ADAS antara ciri yang sering menjadi pertimbangan pengguna ketika membeli kereta baharu.
Namun, di sebalik perkembangan teknologi itu, masih ramai yang salah faham mengenai fungsi sebenar ADAS. Ada yang menganggap kenderaan mampu memandu sendiri sebaik sahaja fungsi seperti Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control atau ACC) atau Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist atau LKA) diaktifkan. Tidak kurang juga yang percaya mereka boleh mengurangkan perhatian terhadap pemanduan kerana sistem tersebut akan mengambil alih sepenuhnya tugas mengawal kenderaan.
Hakikatnya, tanggapan itu tidak tepat kerana ADAS ialah gabungan pelbagai teknologi seperti kamera, radar, sensor ultrasonik dan komputer yang direka untuk membantu pemandu mengesan persekitaran, memberi amaran terhadap potensi bahaya serta mengurangkan risiko kemalangan.
Antara fungsi yang lazim ditemui termasuk Brek Kecemasan Automatik (Autonomous Emergency Braking atau AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning atau LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Pemantauan Titik Buta (Blind Spot Monitoring atau BSM), Amaran Trafik Melintang Belakang (Rear Cross Traffic Alert atau RCTA) dan Pengecaman Tanda Lalu Lintas (Traffic Sign Recognition atau TSR).
Walaupun setiap pengeluar menggunakan nama pemasaran berbeza seperti Honda SENSING, Toyota Safety Sense, Proton ADAS, i-Activsense, DiPilot dan sebagainya, matlamatnya tetap sama, iaitu membantu meningkatkan keselamatan serta keselesaan pemanduan, bukannya menggantikan pemandu.
Mengikut piawaian antarabangsa SAE International J3016, automasi pemanduan dibahagikan kepada enam tahap, bermula daripada Tahap 0 yang tiada automasi sehingga Tahap 5 yang merujuk kepada automasi penuh tanpa memerlukan pemandu. Kebanyakan model yang dijual di Malaysia ketika ini masih berada pada Tahap 2 atau Partial Driving Automation, iaitu sistem mampu mengawal stereng serta pecutan dan brek secara serentak dalam keadaan tertentu.
Pemandu masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan, perlu sentiasa memantau keadaan jalan dan sedia mengambil alih kawalan pada bila-bila masa.
Ini bermaksud, walaupun ACC boleh mengekalkan kelajuan dan jarak dengan kenderaan di hadapan, manakala LKA membantu memastikan kenderaan kekal di dalam lorong, kedua-dua sistem tersebut bukan teknologi pemanduan autonomi. Ia sekadar memberi bantuan berdasarkan keadaan tertentu dan mempunyai had operasinya sendiri.
Salah faham terhadap kemampuan ADAS sebahagiannya berpunca daripada penggunaan istilah pemasaran seperti ‘Pilot’, ‘Autopilot’, ‘Highway Assist’ atau ‘Intelligent Drive’ yang kedengaran seolah-olah kenderaan mampu memandu sendiri. Hakikatnya, semua pengeluar menetapkan pemandu perlu sentiasa memberi perhatian kepada keadaan jalan serta bersedia mengambil alih kawalan sekiranya sistem meminta berbuat demikian.
Malah, video yang tular di media sosial memaparkan individu melepaskan roda stereng, menggunakan telefon bimbit atau melakukan aktiviti lain ketika ADAS diaktifkan turut menyumbang kepada salah tanggapan tersebut. Tindakan sedemikian bukan sahaja berbahaya, malah bercanggah dengan garis panduan penggunaan yang ditetapkan oleh pengeluar.
Seperti mana-mana teknologi lain, ADAS juga ada batasannya. Prestasi sistem boleh menjadi terhad apabila berdepan hujan lebat, kabus, pencahayaan yang terlalu terang, garisan jalan yang pudar atau tidak jelas, selain kamera dan radar yang dilitupi lumpur, habuk atau air.
Dalam situasi tertentu, motosikal yang muncul secara tiba-tiba di antara lorong, pejalan kaki atau objek yang bergerak pantas juga mungkin hanya dapat dikesan pada saat akhir kerana bergantung kepada keadaan persekitaran serta keupayaan sensor.
Begitu juga dengan AEB yang sering disalah tafsir sebagai teknologi yang mampu menghalang semua kemalangan. Sebenarnya, fungsi AEB direka untuk membantu mengurangkan risiko atau impak pelanggaran dalam keadaan tertentu dengan memberikan amaran kepada pemandu dan, jika perlu, mengaktifkan brek secara automatik. Namun begitu, ia tidak menjamin pelanggaran dapat dielakkan sepenuhnya.
Dalam bidang kejuruteraan faktor manusia (human factors engineering), terdapat satu fenomena yang dikenali sebagai automation complacency, iaitu keadaan apabila pengguna mula terlalu bergantung kepada teknologi sehingga tahap perhatian terhadap tugas sebenar semakin berkurangan.
Fenomena ini telah lama menjadi perhatian penyelidik kerana semakin canggih sesuatu sistem bantuan pemandu, semakin besar kemungkinan pengguna meletakkan keyakinan yang berlebihan terhadap keupayaannya.
Atas sebab itu, pengeluar kenderaan sentiasa mengingatkan bahawa ADAS hanyalah sistem bantuan dan pemandu masih perlu memegang stereng, menumpukan perhatian terhadap keadaan trafik, mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu serta memastikan kamera dan sensor sentiasa bersih agar sistem dapat berfungsi secara optimum.
Pengguna juga disaran memahami setiap fungsi ADAS melalui buku manual kerana tahap keupayaan sistem berbeza mengikut jenama dan varian kenderaan.
Kemajuan teknologi automotif sememangnya berjaya menjadikan pemanduan lebih selamat berbanding sedekad lalu. Namun, walaupun ADAS mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan, teknologi tersebut bukan lesen untuk memandu sambil leka atau menyerahkan sepenuhnya kawalan kepada kenderaan. Selagi kenderaan autonomi penuh atau Tahap 5 belum menjadi kebiasaan di jalan raya, manusia masih kekal sebagai komponen keselamatan paling penting di sebalik stereng.
© New Straits Times Press (M) Bhd




