am@hmetro.com.my
Ketika industri pertanian negara terus mencari tanaman bernilai tinggi untuk diterokai, gaharu dilihat berpotensi muncul sebagai komoditi baharu yang mampu menjana pulangan lumayan sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab pengeluaran gaharu premium di rantau ini.
Potensi itu didorong oleh pembangunan varieti hibrid ‘MyKynam’, hasil penyelidikan tempatan yang bukan sahaja mampu menghasilkan resin gaharu premium, malah mempunyai tempoh tuaian lebih singkat, kos penyelenggaraan lebih rendah dan permintaan yang semakin meningkat di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Agartech Ventures Sdn Bhd (AVSB) Calvin Leong Siu Cheong berkata, Malaysia mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai antara peneraju industri gaharu dunia kerana memiliki iklim tropika yang sesuai, tanah yang subur serta kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Malaysia mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai antara peneraju industri gaharu dunia.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah membina keseluruhan ekosistem industri daripada benih, ladang, pemprosesan sehingga pemasaran global,” katanya.
Menurutnya, permintaan terhadap gaharu terus meningkat kerana ia adalah komoditi premium yang digunakan dalam pelbagai industri hiliran termasuk minyak wangi, aromaterapi, produk penjagaan diri dan kesihatan.
Katanya, antara pasaran utamanya ialah China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang masing-masing menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk premium berasaskan gaharu.
Beliau berkata, varieti MyKynam dibangunkan menerusi hampir sedekad penyelidikan bermula pada 2017 dengan menggabungkan spesies pokok karas tempatan (‘Aquilaria malaccensis’) dan klon ‘Kynam’ dari China sehingga berjaya menghasilkan 24 varieti hibrid.
“Varieti hibrid ini mempunyai pertumbuhan lebih seragam, lebih tahan lasak serta berpotensi menghasilkan resin premium dalam kuantiti lebih tinggi berbanding pokok karas biasa,” katanya.
Calvin berkata, antara kelebihan utama MyKynam ialah tempoh tuaian yang jauh lebih singkat apabila pokok boleh dituai seawal usia empat hingga enam tahun berbanding lapan hingga 15 tahun bagi pokok karas konvensional.
Katanya, selain tidak memerlukan proses inokulasi menggunakan serum seperti pokok karas biasa, kos penyelenggaraan juga lebih rendah sekali gus memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada pengusaha.
“Produk MyKynam bersifat organik dan diterima dengan lebih meluas di pasaran global, sekali gus memberi jaminan kepada penanam terhadap nilai komersial tanaman ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi AVSB Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, pembangunan industri gaharu tidak seharusnya hanya tertumpu kepada syarikat perladangan besar kerana ia sesuai diusahakan pekebun kecil.
Kata beliau, individu yang mempunyai tanah kosong di sekitar rumah berpeluang menanam MyKynam sebagai pelaburan jangka panjang memandangkan tanaman itu boleh dituai seawal empat hingga enam tahun.
“MyKynam sesuai diusahakan sesiapa sahaja, termasuk pekebun kecil mahupun syarikat perladangan berskala besar.
“Matlamat kami membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tani menyertai industri bernilai tinggi ini,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan industri itu berkembang secara mampan, kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri, pelabur serta media amat penting dalam membina keyakinan terhadap industri gaharu negara.
Kata beliau, sokongan pelbagai pihak akan membantu memperkukuh penyelidikan, meningkatkan penggunaan benih berkualiti serta memperluaskan pasaran antarabangsa sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab gaharu premium dunia menjelang 2035.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Agroteknologi, Fakulti Agrosains, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) Dr Mohd Syafik Mohamad Hamdan berkata, potensi industri gaharu tidak terhad kepada penjualan kayu atau resin semata-mata.
Dr Mohd Syafik berkata, pelbagai produk hiliran bernilai tinggi boleh dihasilkan daripada gaharu termasuk pati minyak gaharu, minyak wangi premium, produk penjagaan kulit, aromaterapi, teh daun karas, kosmetik, produk farmaseutikal serta pelbagai produk kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




