Ahmad Zahid persembah tiga calon MB Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz

Ahmad Zahid persembah tiga calon MB Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz

am@hmetro.com.my

Seremban: Barisan Nasional (BN) mengemukakan tiga nama sebagai calon menteri besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, malam ini.

Ia susulan kemenangan gabungan BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehadirannya ke Istana Hinggap pada malam ini adalah atas titah Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan nama calon menteri besar.

“Saya baru selesai menghadap Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kami telah mengadakan perbincangan yang panjang lebar.

“Saya telah mengutus warkah kepada Tuanku dan secara peribadi serta rasmi telah menyerahkan warkah dan juga watikah kepada Tuanku. Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku,” katanya ketika ditemui, malam ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid keluar dari Istana Hinggap kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Difahamkan, turut masuk ke istana berkenaan ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan kepada budi bicara Tuanku Muhriz untuk mempertimbangkan dan memperkenankan calon menteri besar.

Ditanya mengenai tiga nama yang dipersembahkan kepada Tuanku, Ahmad Zahid enggan mendedahkan nama itu, namun ketiga-tiga calon adalah daripada BN.

Mengulas mengenai tarikh pengumuman calon menteri besar, Timbalan Perdana Menteri itu menyerahkan kepada istana untuk mengeluarkan kenyataan.

Ahmad Zahid juga menyebut mengenai pengosongan Kediaman Rasmi Menteri Besar secara serta-merta tidak sepatutnya berlaku.

“Pada hemat saya, beri masa. Lagi pun semuanya adalah sahabat-sahabat kita. Kita mesti ada rasa kemanusiaan dan ada tata etika yang harus kita gunakan untuk kita bertindak ke atas mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top