am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang individu dipercayai pengawal keselamatan yang melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah restoran di Banting, Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Beliau berkata, seorang lelaki warga tempatan membuat laporan pada jam 12.05 tengah hari bahawa adik lelakinya mengamuk di rumah sebelum anggota kereta peronda dikerahkan ke lokasi untuk membawa adik pengadu ke Hospital Banting untuk rawatan.
“Kira-kira jam 3.31 petang, polis menerima panggilan bahawa seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengacukan parang ke arah pegawai perubatan di sebuah restoran di Banting.
“Selain itu, pengadu memaklumkan ada tembakan dilepaskan ke arah lelaki berkenaan.
“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain memohon mereka yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berdekatan atau boleh menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.
Terdahulu tular di laman sosial video yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan mengamuk sedang mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan sebelum pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




