mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Tindakan licik curi beg tangan dalam tandas stesen minyak di Hulu Klang, dekat sini, akhirnya memakan diri apabila empat individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan polis selepas wajah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian berlaku pada jam 11.13 malam, 6 April lalu apabila mangsa meletakkan beg tangan berjenama Coach di dalam tandas sebelum menyedarinya hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurutnya, pada jam 10 pagi keesokannya, wanita berusia 36 tahun itu pergi semula ke stesen minyak itu dan melihat rakaman CCTV mendapati seorang wanita keluar dari tandas memegang beg tangannya dan beredar dari situ dengan kereta.
“Antara barangan di dalam beg tangan adalah dokumen dan barang-barang peribadi milik mangsa.
“Susulan itu, pada 14 April lalu jam 10.15 malam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ampang Jaya menahan seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata, pada jam 12.30 tengah malam, 15 April lalu pula, polis menahan seorang wanita warga Indonesia di sebuah kedai emas di Taman Melawati.
“Ujian air kencing dapati keempat-empat suspek negatif daripada pengaruh dadah.
“Suspek lelaki sudah dituduh di mahkamah pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala suspek wanita dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




