am@hmetro.com.my
Tapah: Seramai 24 anggota polis dan pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, biarpun masih berbaki 30 minit sebelum pusat pengundian itu ditutup, hari ini.
Bercakap pada sidang media hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, proses berkenaan bagaimanapun masih diteruskan bagi baki 476 pengundi awal di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini.
Setakat 9 pagi tadi, katanya, SPR merekodkan peratusan keluar mengundi awal sebanyak 22.8 peratus, selain berharap ia akan mencapai 100 peratus menjelang petang nanti.
Beliau juga menasihatkan pengundi awal supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi mengelak kesesakan, selain kaji cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang.
“Sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini, SPR turut menerima 27 laporan berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya.
“Empat daripadanya membabitkan laporan polis dan saya difahamkan ia berkaitan kes tidak serius dan SPR sudah mengambil tindakan ke atas keseluruhan kes terbabit.
“Bagaimanapun, empat laporan masih dikendalikan pihak polis. Alhamdulillah setakat ini, kita tak terima laporan kes serius,”katanya pada sidang media selepas melawat pusat pengundian awal di Dewan Rekreasi APR Transit, Batalion 3 PGA, Bidor.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Dr Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional; Abdul Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari sejurus proses penamaan calon, pada 12 April lalu, hingga jam 11.59 malam, Sabtu ini.
Sementara itu, Ramlan menjangkakan peratus keluar mengundi pada Sabtu ini, akan mencecah lebih 70 peratus dengan ramalan itu dibuat berdasarkan trend PRK terdahulu.
“Saya menyeru pengundi keluar awal supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih teratur kerana sebagai kita maklum keadaan cuaca tidak menentu.
“Pihak yang terbabit dalam PRK ini juga diseru supaya mematuhi peraturan dan garis panduan sedia ada bagi memastikan keseluruhan proses berjalan dengan tertib dan aman.
“(Mereka juga perlu) cuba mengelak daripada mencetuskan sebarang provokasi bagi mengelak keadaan tidak tenang dan sebagainya. Semua pihak perlu memainkan peranan sebaik mungkin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

