Tesla setuju selesai kes kematian akibat pecutan mengejut Model Y

Tesla setuju selesai kes kematian akibat pecutan mengejut Model Y

San Francisco: Syarikat kenderaan elektrik milik Elon Musk, Tesla, bersetuju menyelesaikan tuntutan saman kematian salah yang difailkan oleh pemegang harta pusaka seorang lelaki yang maut selepas kereta Tesla dipandunya terbabas dan terbakar berhampiran Dayton, Ohio, pada 2021.

Tesla dan peguam bagi pihak pemegang harta pusaka mendedahkan penyelesaian itu dalam satu pemfailan di mahkamah Persekutuan di San Francisco pada Isnin, namun tidak mendedahkan terma penyelesaian itu.

Pihak pengeluar kereta itu dan peguam mereka tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi ulasan lanjut berhubung perkara itu.

Todd Walburg, peguam mewakili pihak plaintif, enggan mengulas.

Tesla menafikan sebarang salah laku dalam kes ini dan menyalahkan pemandu atas nahas yang mengorbankan nyawa itu.

Perbicaraan juri sebelum ini dijadualkan pada April 2026.

Saman yang difailkan oleh pihak pemegang harta pusaka mendakwa Tesla Model Y milik Clyde Leach memecut secara tiba-tiba, terbabas dari jalan dan merempuh sebatang tiang di sebuah stesen minyak di Ohio.

Leach, 72, meninggal dunia akibat trauma hentakan tumpul, melecur dan kecederaan lain.

“Tesla sedia maklum bahawa kenderaan keluarannya — termasuk Model Y — dilaporkan dalam ratusan insiden pernah memecut secara tiba-tiba dan tanpa penjelasan,” menurut saman itu.

Tesla menyatakan bahawa model yang dipandu Leach adalah “berteknologi tinggi dan tidak mempunyai kecacatan reka bentuk atau pengilangan.”

Tahun lalu, Tesla turut menyelesaikan satu lagi saman berkaitan nahas pada 2018 yang mengorbankan seorang jurutera Apple apabila Model X yang dipandunya — yang beroperasi dalam mod Autopilot — terbabas dari lebuh raya berhampiran San Francisco.

Penyelesaian itu dicapai sehari sebelum perbicaraan bermula. Beberapa saman lain terhadap Tesla masih belum selesai.

Februari lalu, peguam Tesla berjaya mempengaruhi mahkamah rayuan di Florida untuk mengehadkan jumlah ganti rugi yang mungkin perlu dibayar dalam satu tuntutan saman kematian yang menuduh syarikat itu memberi gambaran salah mengenai keupayaan sistem Autopilot mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top