Dr Sheikh Muszaphar suntik inspirasi kepada 350 murid

Dr Sheikh Muszaphar suntik inspirasi kepada 350 murid

Kuala Lumpur: Lebih 350 murid yang bakal menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) menerima suntikan inspirasi daripada Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, dalam Konvensyen Mega PKSK 2026 yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), hujung minggu lalu.

Dalam sesi khas bersama peserta, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi pengalaman serta perjalanan kejayaannya sehingga menjadi rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki ke angkasa lepas.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, usaha yang konsisten dan keberanian untuk bercita-cita tinggi dalam mencapai kejayaan.

“Kejayaan bukan mengenai siapa yang paling bijak, tetapi siapa yang paling konsisten berusaha untuk mencapai impiannya,” katanya.

Konvensyen Mega PKSK 2026 yang disertai murid dari seluruh negara itu dianjurkan Fly High Education Centre (FHEC) sebagai persediaan awal untuk membantu murid merebut peluang melanjutkan pengajian ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Program itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai format PKSK, teknik menjawab soalan, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), strategi pembelajaran berkesan serta persediaan mental dan sahsiah yang diperlukan bagi menghadapi pentaksiran itu.

Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran rasmi Buku Ledakan Dominasi Tingkatan 3 dan Buku Ledakan Ultra PKSK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top