Bimbang menyesal, Anzalna Nasir mahu sentiasa gembirakan ibu

Bimbang menyesal, Anzalna Nasir mahu sentiasa gembirakan ibu

Aina Balqis Ahmad Nizam

am@hmetro.com.my

Foto dalam system

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Anzalna Nasir mengakui tidak pernah berkira untuk membahagiakan ibunya walaupun wanita itu sering menasihati anak-anak supaya berjimat-cermat dalam perbelanjaan.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna binti Md Nasir, 38, berkata setiap kali tiba ulang tahun kelahiran ibunya, wanita itu akan meminta mereka sekeluarga supaya tidak membeli sebarang hadiah kerana lebih mengutamakan simpanan anak-anak.

Menurutnya, sikap ibunya yang sentiasa mengutamakan orang lain membuatkan dia lebih terdorong untuk menghargai dan membalas jasa wanita itu.

“Setiap tahun ibu beritahu kami supaya tidak membelikannya apa-apa kerana dia lebih suka kami menyimpan wang.

“Tetapi kami tidak pernah mendengar cakapnya. Tahun ini saya membawanya ke butik untuk memilih sendiri apa yang diinginkannya.

“Namun, akhirnya dia pula yang membelikan saya hadiah. Walaupun begitu, saya tetap membeli sesuatu untuknya,” katanya menerusi perkongsian di Threads, semalam.

Anzalna berkata, walaupun ibunya melarang mereka berbelanja untuk dirinya, semakin besar keinginannya untuk menggembirakan wanita yang banyak berkorban membesarkan mereka.

Menurutnya, dia tidak mahu menyesal pada masa akan datang kerana gagal menghargai ibunya ketika masih mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

“Saya tidak mahu suatu hari nanti menoleh ke belakang dan berharap saya melakukan lebih banyak perkara ketika masih mempunyai kesempatan,” katanya.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengikutnya di media sosial yang rata-rata tersentuh dengan hubungan rapat antara Anzalna dan ibunya serta menyifatkan kasih sayang terhadap ibu bapa perlu dizahirkan selagi mereka masih ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top