'Perompak datuk' dibicara rompak mewah Kim Kardashian

'Perompak datuk' dibicara rompak mewah Kim Kardashian

Paris: Sekumpulan suspek yang digelar ‘perompak datuk’ (grandpa robbers) akan dibicarakan pada hujung April ini atas pertuduhan merompak barang kemas bernilai jutaan euro milik bintang realiti televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian, di Paris pada 2016.

Dalam insiden yang digelar media Perancis sebagai rompakan abad ini, kumpulan lelaki bertopeng melarikan diri dari hotel mewah di Paris – tempat Kardashian menginap – pada Oktober 2016 dengan barang kemas bernilai jutaan dolar, termasuk sebentuk cincin berlian yang dihadiahkan oleh suaminya ketika itu, penyanyi rap Kanye West.

Kardashian dijangka memberi keterangan secara fizikal dalam perbicaraan yang bermula pada 28 April, menurut peguamnya dari AS, Michael Rhodes, minggu lalu.

Seramai 10 individu akan didakwa, dan keputusan dijangka diumumkan pada 23 Mei, manakala Kardashian dijangka hadir memberi keterangan pada 13 Mei, berdasarkan jadual sementara.

Kes ini dianggap sebagai rompakan terbesar di Perancis yang menyasarkan individu dalam tempoh 20 tahun. Kardashian dirampas barang kemas dianggarkan bernilai €10 juta (kira-kira AS$11.4 juta pada kadar semasa) ketika menetap di kediaman mewah semasa Minggu Fesyen Paris.

Antara suspek yang ditahan empat bulan selepas kejadian di Paris dan selatan Perancis termasuk Aomar Ait Khedache, 68, digelar ‘Old Omar’. Dia mengaku terbabit dalam rompakan itu namun menafikan dakwaan pendakwaan bahawa dia dalang utama.

Dua hakim penyiasat mengarahkan supaya kes ini dibicarakan oleh juri – satu pendekatan yang di Perancis hanya diguna untuk kesalahan paling serius – atas pertuduhan seperti rompakan bersenjata, penculikan dan penyertaan dalam kumpulan jenayah terancang.

Pada malam 2 dan 3 Oktober 2016, beberapa lelaki, ada yang menyamar sebagai pegawai polis, memasuki hotel tempat Kardashian, ketika itu berusia 35 tahun, menginap sempena Minggu Fesyen.

Bintang realiti itu baru sahaja pulang dari pertunjukan fesyen Givenchy sekitar tengah malam tanpa pengawal peribadinya yang ketika itu menemani kakaknya, Kourtney, ke kelab malam.

Dua daripada penceroboh meletakkan pistol di kepalanya. Salah seorang daripada mereka, kata Kardashian kepada penyiasat, bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Perancis yang sangat pekat, dan memintanya menyerahkan cincin pertunangannya.

Cincin berlian dari West itu, yang sering ditayang Kardashian di media sosial, dianggarkan bernilai AS$4 juta.

Penyerang kemudian mengikat, membungkam mulutnya dan mengheretnya ke bilik mandi.

Tiga lelaki lain pula berkawal di lobi hotel, manakala seorang lagi menunggu dalam kereta pelarian.

Seluruh rompakan itu hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Kebiasaan Kardashian memuat naik maklumat tentang kekayaan, kehidupan peribadi dan lokasi keberadaannya dipercayai memudahkan perompak merancang jenayah itu.

Ait Khedache kemudian memberitahu penyiasat bahawa ‘kerja’ itu amat mudah dan jauh berbeza daripada rompakan bersenjata biasa.

Selain cincin berlian 18.88 karat yang hampir sempurna itu, kumpulan tersebut turut melarikan beberapa barang kemas emas dan berlian lain, termasuk jam tangan Rolex emas.

Salah seorang suspek, Yunice Abbas, kini berusia 71 tahun, melarikan diri menaiki basikal tetapi menjatuhkan seutas salib bertatah berlian bernilai €30,000 yang kemudian ditemui orang awam beberapa jam kemudian.

Perompak dipercayai kehilangan beberapa barang semasa melarikan diri, namun sebahagian besar hasil rompakan itu tidak pernah dijumpai dan dipercayai sudah dijual di Belgium.

Abbas kemudian menulis sebuah buku bertajuk I kidnapped Kim Kardashian (Saya menculik Kim Kardashian), walaupun mendakwa dirinya hanya sebagai pemerhati dan tidak pernah melihat Kardashian secara langsung.

Seorang lagi suspek, Didier Dubreucq, 69, yang turut tiba ke lokasi dengan basikal, didakwa memasuki bilik Kardashian, tetapi dia menafikan tuduhan itu.

Menurut pendakwa, suspek-suspek yang sudah berusia ini berharap dapat membuat ‘kemunculan semula’ dalam dunia jenayah melalui rompakan itu.

Mereka dikenal pasti terutamanya melalui ujian DNA.

Daripada 12 individu yang asalnya didakwa, hanya 10 akan hadir di mahkamah kerana seorang sudah meninggal dunia dan seorang lagi, Pierre Bouianere yang berusia 80 tahun, tidak layak dibicarakan kerana masalah kesihatan.

Bouianere akan dibicarakan secara berasingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top