Isu Jalur Gemilang: Tindakan tegas kepada pegawai lakukan kesilapan

Isu Jalur Gemilang: Tindakan tegas kepada pegawai lakukan kesilapan

am@hmetro.com.my

Cyberjaya: Pegawai yang bertanggungjawab berhubung kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini perlu diambil tindakan tegas.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku.

Katanya, walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memohon maaf namun isu ini serius kerana membabitkan imej negara.

“Tindakan tegas dan serta-merta sudah diambil terhadap semua pihak terbabit, namun kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

“Jika kita boleh ambil tindakan kepada sebuah media cetak yang terbabit (sebelum ini) kenapa kita tidak boleh ambil tindakan kepada agensi kerajaan sendiri.

“Perkara ini tidak ada kompromi dan saya fikir sepatutnya ia tidak berulang kerana membabitkan imej negara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ANGKASA 2025 di sini hari ini.

Turut hadir,Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Terdahulu media melaporkan, polis akan menyiasat sekiranya terdapat laporan berkaitan kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diedarkan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilapor berkata, pihaknya akan menyiasat kesilapan itu disengajakan atau sebaliknya setelah laporan diterima.

Terdahulu, KPM menerusi kenyataan hari ini turut memohon maaf atas kesilapan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top