Arlington: Lionel Messi muncul penjaring paling prolifik dalam sejarah Piala Dunia, sebentar tadi dan apabila diminta memilih gol kegemarannya serta menggambarkan perasaan selepas memecahkan rekod itu, dia menjawab dengan penuh bersahaja ‘saya sangat letih.’
Kapten Argentina berusia 38 tahun itu terlepas sepakan penalti, menjaringkan dua gol dan melanjutkan rekod jaringan Piala Dunianya kepada enam perlawanan berturut-turut dalam kemenangan 2-0 ke atas Austria yang memastikan pasukannya mara ke pusingan kalah mati.
Gol pertama Messi, menerusi penyudah hantaran lintang rendah Facundo Medina, menyaksikannya menyamai legenda Brazil, Marta dengan 17 gol Piala Dunia merentasi kejohanan lelaki dan wanita.
Gol keduanya pada masa kecederaan pula meletakkannya unggul di puncak sebagai pemegang rekod baharu secara keseluruhan.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini.
“Ia kemenangan yang amat penting, perlawanan yang sukar dan kami bekerja keras untuk mendapatkannya. Ia memberikan ketenangan kepada kami untuk menghadapi cabaran seterusnya,” kata Messi.
Ia mungkin aksi yang lebih selesa buat Argentina sekiranya Messi menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama namun dia berkata pasukannya boleh berbangga dengan cara mereka mengawal permainan selepas Austria meningkatkan rentak pada babak kedua.
“Sejujurnya, cara ia berlaku hari ini memang luar biasa.
“Saya mempunyai peluang menerusi penalti untuk menambah kelebihan tetapi saya gembira dengan keputusan ini dan juga usaha seluruh pasukan,” katanya.
Messi yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 minggu ini kini sudah menjaringkan lima gol pada Piala Dunia kali ini.
Argentina setakat ini sudah menghimpun enam mata daripada dua perlawanan Kumpulan J, cukup untuk memastikan tempat ke pusingan 32 dengan berbaki satu perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




