Kempen 'For Everyday Athletes' langkah komuniti sihat

Kempen 'For Everyday Athletes' langkah komuniti sihat

aida_adilah@hmetro.com.my

Shah Alam: Al-Ikhsan Sports pengedar barangan sukan terbesar bakal menggegarkan arena sukan tempatan dengan penganjuran Al-Ikhsan Run, acara larian berskala nasional yang menyasarkan penyertaan rakyat Malaysia dari semua peringkat usia dan kemampuan.

Lebih menarik, acara itu adalah sebahagian daripada kempen nasional terbaharu – For Everyday Athletes – yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat menerusi sukan.

Dengan kempen For Everyday Athletes, Al-Ikhsan bukan lagi sekadar jenama – ia kini menjadi gerakan rakyat dalam setiap langkah untuk bergiat aktif dalam kehidupan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Datuk Hishammudin Hasan berkata, program ini terbuka kepada semua dan dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sukan tempatan.

“Anda, saya, kamu dan semua dialu-alukan untuk menyertai program-program yang dianjurkan oleh Al-Ikhsan nanti.

“Tak kira umur, tak kira kelajuan anda, kita berlari dan lakukan sesuatu demi kesihatan,” katanya.

Hishammudin menegaskan perincian rasmi berhubung acara itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi memberi masa kepada orang ramai membuat persiapan.

Dengan 187 cawangan fizikal dan tiga platform digital di seluruh semenanjung, Al-Ikhsan sudah lama menjadi nama yang dekat di hati rakyat Malaysia dan kali penganjuran Al-Ikhsan ini adalah cara terbaik memberi kembali kepada komuniti.

Bukan hanya sekadar larian, Al-Ikhsan turut berganding bahu bersama jenama-jenama sukan terkemuka menganjurkan klinik larian, klinik bola dan klinik gaya hidup yang dianjurkan secara percuma.

“Setiap bulan, kita akan anjur satu, atau dua klinik. Ia disebabkan kita nak menggalakkan setiap orang bersukan setiap hari,” katanya.

Menariknya, acara ini bukan sekadar tentang hadiah atau pulangan komersial, tetapi lebih kepada membina komuniti sihat yang aktif dan inklusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top