Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan tanggung pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti malah hingga ke luar negara.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi membuat keputusan tersebut selepas mengetahui kisah pelajar yatim dan miskin dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan disebabkan masalah kewangan.
Keputusan cemerlang SPM
“Pilu mendengar kisah pelajar yatim dan miskin 9A MRSM Pengkalan Chepa tak pergi ambil keputusan SPM sebab kekangan wang. MARA akan tanggung pelajar ini sampai universiti hatta ke luar negara,” ujarnya dalam sebuah hantaran di Facebook, hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau akan mengadakan sesi pertemuan bersama pelajar miskin tegar yang cemerlang MRSM seluruh negara untuk menerangkan dengan lebih terperinci berkaitan bidang-bidang pengajian.
Artikel lain: Kerja malam antara punca calon SPM 2024 gagal semua subjek meningkat
Keputusan cemerlang SPM

“InsyaAllah, saya sudah arahkan Ketua Pengarah MARA untuk kumpulkan segera semua pelajar cemerlang MRSM seluruh Malaysia termasuklah penerima bantuan pendidikan MARA (BUDI) dikalangan pelajar miskin tegar yang dapat staight A’s untuk saya bertemu.
“Turut akan adakan satu program khas untuk menerangkan peluang-peluang yang MARA akan tawarkan dalam bidang-bidang strategik yang memenuhi keperluan kerjaya masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan MARA akan terus komited dalam membimbing pelajar-pelajar miskin cemerlang untuk menyambung pengajian ke luar negara.
Beliau akan menggalas amanah tersebut dengan baik demi membela lebih ramai anak bangsa yang kurang bernasib baik sebelum ini.
Sumber: Facebook @Dr Asyraf Wajdi Dusuki




