Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan bahawa arahan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan bagi aktiviti perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan dibuat oleh panel 3 hakim
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu yang difailkan Kerajaan Negeri Kedah.

Dua hakim lain yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Panel berkenaan memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi ambang keperluan yang ditetapkan (threshold requirement) di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dengan keputusan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kedah sebelum ini yang mengisytiharkan arahan berkenaan sebagai tidak berperlembagaan kekal berkuat kuasa.
Sumber: Utusan Malaysia (Aimi Hazirah)

