mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit di Lebuhraya Pan Borneo di laluan Sibu- Bintulu-Selangau, semalam.
Mangsa, Rolland Atok Eleh, 37 dan wanita warga emas, Bayan Tubak, 60, yang tersepit di dalam pikap itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi lelaki, Remington Atok, 35, pula cedera dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 6.39 petang.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dibantu anggota BBP Selangau diarah ke lokasi.
“Setibanya di lokasi didapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah pikap yang terbabas dan terbalik di dalam parit.
“Terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan itu dengan seorang daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba manakala dua mangsa lagi masih di dalam kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan yang terbalik.
“Anggota paramedik mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia dan mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




