am@hmetro.com.my
Alor Setar: Orang ramai yang mengunjungi pusat hiburan diminta berhati-hati kerana kini terdapat serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dihidangkan dalam pelbagai perisa.
Ia dikesan mula memasuki pasaran sekitar Alor Setar dan berharga RM150 sepaket itu dipercayai digunakan untuk parti persendirian atau pusat hiburan tertentu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, serbuk minuman itu mempunyai pelbagai perisa seperti epal, ‘blackcurrant’ dan laici.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap individu yang mengambilnya akan didapati positif methamphetamine.
“Serbuk minuman ini kami rampas hasil serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan di daerah ini dan menahan pasangan suami isteri berusia lingkungan 50-an.
“Turut ditemui dalam serbuan itu ialah sejumlah 10,340 biji pil Eramin 5, dengan anggaran berat 2,846.29 gram, satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin, dengan anggaran berat 483 gram, manakala serbuk dadah sintetik jenis MDMA itu dengan berat anggaran 364.2 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, pasangan itu yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah itu menggunakan modus operandi dengan mengedar di kawasan sekitar kepada tokan kecil.
“Suspek lelaki didapat positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin dan dia turut mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB).
“Bagaimanapun, isterinya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM189,642.43,” katanya.
“Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 5 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd