najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelawak Saiful Apek, 56, menjelaskan dia tidak ditahan sebaliknya gambar yang tular itu dirakam ketika pihak polis cuba meleraikan perselisihan antara dia dengan seorang individu tidak dikenali.
Apek berkata, insiden itu bermula apabila individu berkenaan menghina filem 6 Jilake lakonannya serta pengarah karya itu, Aziz M Osman.
“Individu dalam foto itu memang saya, cuma saya tidak ditahan seperti yang dilaporkan. Gambar itu diambil ketika pihak polis sedang meleraikan ketegangan yang berlaku.
“Ia bermula apabila individu berkenaan melemparkan kata-kata tidak baik mengenai abang saya, Aziz M Osman, serta mendakwa filem ini ‘sampah’. Kalau setakat sebut nama saya saja, saya masih boleh kawal emosi, tetapi ini membabitkan individu yang saya anggap sebagai sifu,” katanya.
Menurut Apek, insiden itu berlaku ketika dia menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras, di sini, Isnin lalu.
“Ketika kejadian, saya hadir ke rumah terbuka Tan Sri Razarudin. Tiba-tiba, seorang individu tidak dikenali membuat provokasi mengenai filem itu sehingga menyebabkan saya hilang sabar.
“Saya bangun dan beredar kerana tidak mahu mengganggu majlis. Saya sangka perkara itu sudah selesai, namun ketika saya menuju ke parkir kereta, individu berkenaan masih terus melakukan provokasi. Melihat ketegangan itu pihak polis datang dan meleraikannya,” katanya.
Semalam, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis. Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian tidak dikenal pasti.
Ekoran kekecohan itu, Apek memohon maaf kepada ahli keluarga serta sahabat yang terpalit dengan kontroversi berkenaan.
“Saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan mohon semua pihak bertenang, terutama ahli keluarga serta sahabat terdekat yang terkejut dengan berita ini.
“Apa yang paling saya risau, ramai menghubungi ahli Senario, khususnya Azlee yang kita sedia maklum mempunyai masalah jantung,” katanya.
Terdahulu, bertebaran sekeping foto dikirim individu tidak dikenali memaparkan kelibat seorang pelawak telah ditahan oleh pihak berkuasa semalam.
Individu yang mengirim foto berkenaan mendakwa pelawak ditahan itu adalah ahli kumpulan Senario iaitu Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56.
Dalam foto berkenaan, Saiful yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu bersama seorang lagi individu dilihat ditahan oleh dua anggota beruniform di satu lokasi yang tidak diketahui.
Malah Saiful dan individu itu dilihat seperti sedang disoal siasat oleh anggota berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




