Tel Aviv: Polis menahan suspek lelaki berusia 50 tahun dari Umm Tuba, Timur Baitulmaqdis atas dakwaan mencetuskan kebakaran di hutan.
Menurut jurucakap polis, tangkapan dibuat selepas pihak berkuasa menerima maklumat orang awam yang mendakwa melihat individu cuba menyalakan api.
Katanya, ketika penahanan, suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.
“Pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemui pemetik api, kapas dan bahan mudah terbakar lain yang dipercayai digunakan untuk memulakan kebakaran.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Oz, Timur Baitulamaqdis,” kata polis.
Beberapa akaun di platform X menyebarkan mesej berunsur hasutan yang menggesa serangan pembakaran dilakukan ke atas kawasan sekitar penempatan Yahudi termasuk taman dan kenderaan.
Menurut Times of Israel, susulan penyebaran mesej provokatif itu, ahli parlimen sayap kanan dari Parti Religious Zionism, Zvi Sukkot, menghantar surat kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu supaya segera mengarahkan perintah berkurung dan sekatan penuh dikenakan ke atas kampung Palestin di Tebing Barat.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Netanyahu sedang menerima laporan berkala mengenai situasi semasa dan berhubung rapat dengan Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir serta pegawai keselamatan dan bomba.
Agensi keselamatan dalam negeri, Shin Bet, turut terbabit dalam siasatan berkenaan dan membantu pihak polis mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit menyalakan kebakaran.
Namun, siasatan agensi itu turut menerima serangan dalam talian apabila Yair Netanyahu, anak kepada perdana menteri, menyiarkan hantaran di Telegram yang menuduh Shin Bet sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran itu.
Tuduhan itu dibuat di tengah-tengah kempen kerajaan yang sedang berjalan terhadap kepimpinan agensi itu, yang ketika ini menyiasat hubungan antara pegawai kanan pejabat perdana menteri dan Qatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd

