am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, selesai menjalani pembedahan membuang hempedu, di sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pembedahan itu berjaya dilakukan dengan selamat dan kini Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor berada dalam keadaan stabil serta sedar.
“Amanah Johor bersyukur susulan keadaan Yang Berhormat (YB) Suhaizan Kaiat semakin stabil selepas berjaya menjalani prosedur pembedahan membuang hempedu.
“Kami berterima kasih terhadap semua pihak yang memainkan peranan yang baik serta semua pihak yang telah mendoakan kesejahteraan YB Suhaizan Kaiat semasa dalam rawatan.
“Penghargaan turut dirakamkan kepada mereka yang bertungkus lumus terutama pasukan perubatan, pegawai Parlimen Pulai, pasukan Amanah Johor, ketua masyarakat dan individu perseorangan yang membantu menjaga serta menguruskan keselamatan dan kesihatan YB Suhaizan sepanjang beliau dalam rawatan.
“Amanah Johor juga berterima kasih dengan ingatan daripada rakan-rakan termasuk Konsul Jeneral Republik Singapura, Ng Kuan Khai, Ahli Parlimen Skudai, Liew Chin Tong dan pemimpin setempat yang lain,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta, di sini, malam kelmarin, selepas paras oksigen menurun akibat jangkitan kuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd