Jakarta: Bulan madu selama seminggu di Bali, Indonesia yang sepatutnya menjadi kenangan manis bertukar menjadi pengalaman tidak dijangka buat pasangan muda Malaysia apabila abu gunung berapi Anak Krakatau menjejaskan perjalanan pulang mereka, menyebabkan kedua-duanya terkandas di Indonesia selama lima hari lagi dengan baki wang terhad.
Amir Hamzah, 29, pekerja kilang dari Kedah dan isterinya, Fatin Zulaikha Azizal, juga 29, yang bekerja di sebuah syarikat swasta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali pada jam 8.40 malam Sabtu lalu ke Jakarta sebelum sepatutnya meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi keesokan harinya.
Amir dan isterinya sepatutnya pulang ke Malaysia pada Ahad lalu, namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas penerbangan mereka ke Kuala Lumpur beberapa kali ditangguhkan sebelum akhirnya dibatalkan.
“Kami sangka hanya akan tidur di lapangan terbang selama beberapa jam sebelum menaiki penerbangan pagi untuk pulang. Tidak pernah terfikir kami akan terkandas di sini selama beberapa hari,” kata Amir yang kali pertama melancong ke luar negara kepada Bernama.
Mereka sudah selesai menjalani pemeriksaan imigresen apabila paparan maklumat penerbangan menunjukkan penerbangan mereka ditangguhkan, dengan waktu berlepas diubah beberapa kali sebelum akhirnya dibatalkan.
Gangguan itu berlaku ketika abu gunung berapi Anak Krakatau memaksa pihak berkuasa Indonesia menutup sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan tujuh lapangan terbang lain menjejaskan kira-kira 150,000 penumpang serta 467 penerbangan setakat malam Ahad lalu.
Selepas hampir 24 jam berada di Soekarno-Hatta, pasangan itu dimaklumkan oleh Garuda Indonesia bahawa penerbangan paling awal yang tersedia ialah pada Jumaat ini, lima hari selepas tarikh mereka sepatutnya pulang.
“Apabila saya dimaklumkan pada Jumaat, saya terfikir, ‘Jumaat? Apa yang kami hendak buat di sini selama lima hari lagi?’ Kami hanya menyediakan wang yang cukup untuk bulan madu dan pulang pada Ahad,” katanya.
Dia berkata pembelian tiket gantian akan menelan belanja yang jauh lebih tinggi, manakala bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan pula mengambil masa beberapa hari untuk diproses.
“Kami tidak dimaklumkan mengenai sebarang pampasan dan berdasarkan apa yang kami faham, tiada pampasan akan diberikan kerana pembatalan itu disebabkan keadaan di luar kawalan.
“Kami baru sahaja berkahwin, jadi sudah tentu ketika berbulan madu kami berbelanja lebih sedikit.
“Pada mulanya kami menempah hotel bajet berhampiran lapangan terbang, tetapi apabila mula mengira kos penginapan dan makanan untuk lima hari lagi, kami bimbang wang yang masih ada tidak mencukupi,” katanya.
Bimbang dengan keadaan yang dihadapi, Amir menghubungi wartawan Bernama di Jakarta untuk mendapatkan bantuan dan pasangan itu kemudiannya diberikan penginapan sementara sebelum menunggu bantuan daripada keluarga mereka di Malaysia.
Sebanyak 31 penerbangan ke Jakarta yang dijadualkan sepanjang Ahad dibatalkan susulan penutupan sementara Soekarno-Hatta, termasuk 21 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera mula meletus pada jam 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat, dengan pihak berkuasa Indonesia melaporkan abu gunung berapi mencapai ketinggian kira-kira 6,000 meter di sebelah Jawa dan kepulan sehingga 15,000 meter ke arah Sumatera serta beberapa kawasan di wilayah Banten.
© New Straits Times Press (M) Bhd
