Kuala Terengganu: Seekor harimau kumbang mati selepas dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 387 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 1.15 pagi tadi semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan mendapati kemalangan itu terjadi apabila haiwan liar berkenaan melintas secara tiba-tiba dari arah kanan ke kiri jalan.
“Siasatan mendapati Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dalam perjalanan dari Kelantan ke Kemaman, Terengganu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, haiwan liar itu secara tiba-tiba melintas dan pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak. Haiwan itu mati di lokasi kejadian, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sharudin berkata, bangkai haiwan berkenaan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui LPT2 dan mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd